Demedim Me

Sunday, April 09, 2006

Mahu jadi hamba, sebenar-benar hamba

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani


Venue : Grand Canal, D6
Masa : 0740
Tarikh : 9 April 2006

"Duhai Ibu Tua, Dayang Kasih Diraja, apakah indah sungguh pagi ini? Tenang sungguh tasik qalbu kita, kiranya lebih damai dari air terusan ini. Mentera keramat mana yang dipuji-puja? Langsung mentari murah benar menaburkan emas cahaya, sampai sakit mata kita dek kemilau pancarnya. Dan, mimpi asyik benarkah sang merpati, terlebih manja jinaknya, hampir saja kita dapat menangkapnya tadi."

"Syukur pada Pencipta, duhai anak ibu, Puteri Kemala Permata Putih Salju. Indah nian ini hari, serapah jampi maupun khabar mimpi, bukanlah itu asbabnya. Masakan anakanda khilaf, lupa akan maksud Ar-Rahman, daripada Asma' Allah ul-Husna yang seratus kurang satu bilangannya? Ar-rahman itu, yang Maha Pemurah, memberi tak henti-henti, yang tak meminta dibalasi. Yang menghadiahi cantik alam ini, tanpa kita pinta doa.."

(ketawa halus)
"Ibu Tua yang kita muliakan, kita ingat, kita tak lupa. Sengaja kita mahu bercanda gurau, apakah itu pun tidak boleh? Iya, kerna Ar-Rahman nya Dia, kerna Al-Khaliq, kerna Al-Baari, kerna Al-Musowwir.. kerna Dia. Teringat kita pada firman Allah dalam ayat ketiga daripada Surah Al-Jatsiyyah yang bermaksud

"Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman."

Moga berkenanlah Allah untuk menggolongkan kita bersama ke dalam kelompok mereka yang beriman."

"Alhamdulillah, alhamdulillah. Sejuk hati ke hadrat yang mulia Sultan Panji Mahkota Alam Buana dan Permaisuri Indah Cahaya Bulan dikurniakan sesoleh anak seperti Tuanku Puteri."

"Ah Ibu Tua, bukankan sudah kita bilang, jangan ber'tuanku puteri' dengan kita. Gulana di hati kita mendengarnya. Emm, apa kiranya masih ibu ingat tentang janji Ibu mahu memberitahu kita sesuatu, sewaktu di kolam larangan lewat sore kelmarin?"

Ibu Tua mengulum senyum, syukur dan haru jadi satu, lantas mengalunkan ayat suci ;

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ(115)فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116)

"Anakanda Salju yang Ibu cintai, Ibu bermaksud untuk menyampaikan ini kepadamu, lantaran menjelang hari baru esok, bertambah setahun lagi hitung hayatmu. Berharap benar Ibu agar dapat engkau menemukan pemahaman yang sebenar akan ayat Allah ini, sebagai bekal mengkoreksi diri. Kerna engkau masih bertatih merangkak ke arah daerah Cahaya Ilahi, berselirat akar berserakan duri bagai menanti untuk mencalari kaki andai tidak anakanda mencelikkan matahati. Juga, tebal lagi selubung hitam ego dan jahil memenjara warasmu, rentapkan ia anakanda, gantikan dengan kerudung putih tenunan kesucian hati dan harum ilmu Allah.. Ingat duhai anakku, makin suntuk masamu!"

"Wahai Ibu Tua, bertambahlah kasih kita kepada Ibu. Lantaran Ibu menyedarkan kita akan dhaif hakikat diri. Kita insafi, Ibu, namun sering benar kita ini didodoikan siulan hati yang fakir ingkar. Alangkah lemahnya iman kita. Alangkah bodohnya kita, alangkah ruginya kita andai masih rela terlena. Terimalah kasih kita, wahai Ibu Tua, ingatkanlah kita, doakanlah kita. Kita mahu jadi hamba yang sebenar-benar hamba!"



"In sya Allah, anakku, in sya Allah. Hadirkanlah usaha, mesrai doa-doa, kerna mimpi semata tidak menatijahkan apa-apa.."

*******************************************************

"Dah habis eh roti nak bagi kat swan ni?"
"A'ah. Ish, tadi kita bagi makan, tak ramai. Ni dah habis roti, banyak pulak yang baru datang."
"Ce tengok dua ekor swan tu. Cantik betul yang satu tu. Ko rase ape dorang sembang eh?"