Demedim Me

Tuesday, March 21, 2006

tulis tulis

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Wah, dah lama sungguh tak menulis di sini. Nak katakan sibuk sangat, macam tak betul pulak. Nak kata tak dapat akses ke komputer dan internet, lagilah bohong namanya. Justeru, apa sebabnya ya? (dan Allah lebih mengetahui)

Banyak juga perkara berlaku sepanjang 'senyap' ini. Antara yang paling penting, peperiksaan First Prefessional, pada januari lepas. First Prof ini memang meninggalkan kesan hebat buat saya, lahir dan batin. Alhamdulillah, lulus. Namun bagi saya, hadiah yang dianugerahi bersempena peperiksaan ini bukan pada lulus-lepasnya saya, tetapi pada 'peringatan' yang saya kira, jarang sekali saya terima. Pedih, tapi manis. (tak faham?)

(Biasalah, manusia. Pada waktu susah tersepit, di kala itu lah serasa mahu hampir dekat benar dengan Tuhan. Baru mahu terhegeh-hegeh memohon bagai tak punya esok lagi. Bagai baru disentak dari tidur lena, merayu-rayu diterima segala. Wahai..)

Hampir saja saya berputus asa lantaran peperiksaan yang dirasakan amat sukar sekali. Tapi syukur, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Diangkat doa saya, dipanduNya saya, dihadiahi saya tenang dan semangat.. buat penerus juang yang belum sudah.

*****************************************


Kini sudah masuk minggu ke empat saya berulang-alik ke hospital. Dimensi baru! Sebelum ini, hanya terperuk di dewan kuliah, mengulangi kuliah, tutorial dan praktikal di dalam kompaun yang sama. Sekarang, horizon serasa lebih luas. Lebih dekat dengan tugas yang bakal dipikul beberapa tahun sahaja lagi. Pada awalnya, agak kekok dan kelam kabut juga. Almaklumlah, perlu lebih pantas bergerak dan mengingat nama-nama bilik yang perlu dikunjungi. Salah satu modul dalam penggal ini ialah Clinical Observation, di mana kami diberi peluang melihat sendiri prosedur dan protokol yang dijalankan silih waktu di hospital.

Minggu lepas, saya ditugaskan untuk memerhati dan mempelajari daripada jururawat tentang bidang kerja mereka di St. Patrick Ward. Pengalaman singkat ini membuka mata saya kepada peri pentingnya jururawat di dalam menggerakkan kerja-kerja di hospital. Kebetulan, di St. Patrick Ward ini, ramai pesakit-pesakit yang sudah lanjut usia dan tidak mampu menguruskan diri sendiri denagn sempurna, dan para jururawat inilah yang berbakti kepada mereka. Bukan senang, bukan calang-calang orang tega untuk melaksanakannya ; memandikan, menukarkan pakaian, menyuapkan makan, mengemaskan katil, menukar lampin pakai buang, menyucikan setelah berurusan di tandas.. Alangkan seorang anak pun ada yang tidak sanggup menjaga ibu sendiri, inikan pula terhadap mereka yang langsung tidak punya pertalian darah!

Bersyukur benar saya memperoleh sedemikian peluang. Bertambah rasa hormat kepada mereka yang berpakain putih bersih ini, dengan senyum yang tidak pernah lekang dari bibir, meski penat menerjah datang. Dan, sewaktu di sana, sempat saya berkenal baik dengan seorang mak cik, mungkin lebih tepat berpangkat nenek pada saya. Margaret, nenek yang ramah melayan bual saya, dan tak putus-putus melahirkan rasa senangnya ; "it is so nice to get to know you."

Sampai sini dulu, moga kita sama-sama beroleh kekuatan (daripada Allah ta'ala) untuk meneruskan perjuangan hidup, sampai satu ketika yang Allah jua yang Maha Tahu