Demedim Me

Tuesday, September 20, 2005

Lari/Cari (edisi jalan-jalan Taman Botani)

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

The Prophet (Peace and blessings be upon him) said:

"Happiness, all happiness, is long life (full) of obedience to Allah." (Narrated by Quda’i and Daylami on the authority of Ibn Umar)


Alhamdulillah, jalan-jalan ke Taman Botani lepas berjalan dengan baik. Walau pada awal pagi, saya agak risau melihat paparan di situs weather forecast ; 6°, Feels Like 4°. Namun kelabu hari berarak pergi, berganti cahaya emas mesra hangat berselerak di bumi. Oh, dan langit megah menayang biru dihias putih polos kumpulan awanan (baca : Namun kemudian, cuaca bertukar baik).

Ya Tuhan... Cantik betul kawasan taman tu. Dengan pohon-pohon hijau dan pandang rumput luas saujana, damai menyapa mata (dan hati). Renek tumbuhan berbunga, dengan pancawarna memukau, subhanallah. (Lukisan alam, indahnya sukar untuk dizahirkan atas kanvas nyata.. Tapi, terpatri di hati, menyatu dengan rasa)

Ok, ok.

We did it again! Adik-adik pun nampak bahagia dengan pengalaman pertama ; kami tunduk menghinakan diri di hadapan Pencipta kami. Kami menyembah Tuhan kami, bersama restu alam ; kami hidu segar bau tanah (yang daripadanya kami diciptakan dan kepadanya kami akan pasti kembali), kami sedut dingin angin yang menyapa, kami nikmati asli sinar mentari. Kami mengimani bahawa, walau di mana pun kami berada, kami wajib menunaikan solat kami, dan kali ini, berhamparkan hijau permaidani alam dan berbumbungkan langit yang tegak masih, memayungi.

Slot terakhir games (fast forward). 3 sisters diberi penghormatan, meluahkan rasa dengan tajuk ; the things that make me feel good today. Semua pandangan yang diutarakan comel-comel belaka, so sweet bak kate orang. Seorang adik memberitahu, pada awalnya dia keberatan untuk turut serta, tapi ternyata, keputusan di saat akhir tak mengecewakan malah bersyukur hadir sama. Dan yang seorang lagi, melahirkan rasa terima kasih dan gembira, kerana (izin Allah, utamanya) program tersebut dapat membantu menceriakan harinya. She's homesick. (sama la kita, dik)

Saya secara peribadi menghargai amat slot terakhir ini.

Banyak perkara sebenarnya, yang Allah beri, yang mampu membuatkan saya tersenyum, rasa gembira. Cuma seringkali, saya yang gagal mengerti.

Doa tak putus-putus, memohon kebahagian dunia akhirat. Namun, pabila kadang-kadang akal (dan nurani) diuji sedikit dengan kesukaran, seolah sukar sekali menemukan sebab untuk tersenyum dan merasa tenang. Sedangkan, saya pasti benar, Tuhan tak pernah lokek memberi bahagia. Soalnya sama ada saya berhasil mencari, atau saya langsung lari dan tidak peduli.

Setiap sesuatu perkara yang saya lalui, yang Allah rancangkan untuk saya, membawa mesej yang tersendiri. Biar sekecil perkara, seenteng peristiwa, mungkin manis bermadu atau pahit menolak anak tekak, saya mahu cari maksudnya, dan mengupas bahagia yang tersurat mahupun tersirat.

Saya mahu belajar agar lebih menghargai.

Tuhan
Terima Kasih atas nikmat
Ampunkan
Kerana aku pantas meminta
Tapi alah mengabdi


Allah Hafeez :)