Demedim Me

Monday, February 02, 2004

Sahabat @ Aidil Adha

Dengan Nama Allah, yang Maha Terpuji, Maha Mulia, Maha Segalanya.

Selamat Hari Raya Aidil Adha. Terlewat saya, maaf. Tapi, ruh Raya itu masih ada, kan? ;). Semoga ruh itu beri banyak rahmat kebaikan buat kita.

Semalam, seperti biasa, seperti di tahun-tahun sebelumnya, Laurel Lodge diserbu lagi! Memang, sudah macam satu tradisi, selepas beraya di Malaysia Hall, rumah kami menjadi sasaran. Seronok juga, ramai-ramai berkumpul. Untuk Aidil Adha kali ini, kami tidak masak banyak. Bihun sup, lontong (atau sayur lodeh), sedikit nasi impit dan satay, dan kuah kacang, dan agar-agar sirap, dan puding koktail, dan puding coklat! (sikit, kan? hehehe). Malam sebelum raya, hampir pukul 3 pagi baru tidur. Siang hari raya, meraikan tamu yang datang. Eh, bukan meraikan, kerana saya banyak 'menyorok' di dapur, buat-buat sibuk di belakang kerana tidak mahu ke lounge ;). Bukan apa, ramai sangat, tidak mampu memenuhkan lagi ruang yang sememangnya agak kecil (bukan sekadar alasan ya :p). Petang baru dapat peluang menziarah ke rumah teman lain, alhamdulillah. Terkenang Aidil Fitri lepas, tidak berkesempatan langsung!

Humm.. bising-bising menceritakan aktiviti semalam, bukan untuk apa. Cuma, ingin berkongsi meriah sambutan lebaran di sini. Meski tidak semeriah, tidak seperti di Malaysia, ruh nya, gembiranya tetap ada. Seronok, indahnya dalam konteks yang berbeza. Di kejauhan ini, banyak mengajar tentang erti mensyukuri, erti menghargai, dan macam-macam lagi. Syukur, walau yang ada tidak seberapa. Hargai, walau sekurang mana diperolehi. Juga tentang Persahabatan, ikatan persaudaraan yang cukup penting sebenarnya.

" Tidak sempurna iman seseorang itu hinggalah dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Hadith famous yang selalu sungguh dipetik, sejak zaman sekolah dulu sampailah sekarang. Senang disebut, tapi susah sungguh untuk kita betul-betul kotakan apa yang diajak oleh Nabi itu. Untuk mengasihi sabahat sebagai mana kita mengasihi diri sendiri, payah itu. Tapi, kita boleh belajar. Belajar mengurangkan kepentingan diri, belajar melatih diri supaya lebih memberi daripada menerima, belajar menghormati bukan minta dihormati, belajar memahami bukan memaksa untuk difahami etc.. etc.. Walau mungkin masih belum mencapai tahap tertinggi, sekurang-kurangnya kita punya usaha untuk ke arah itu. Saya teringat kisah sahabat sekawan di medan perang, yang masing-masing beralah tidak mahu minum air, akhirnya semua syahid, tanpa dapat minum. Itu, siapa yang mampu berbuat begitu di zaman ini? Masih beralah, masih tidak mementingkan diri sendiri walau di ambang maut. (Sungguh, saya cemburu dengan persahabatan seumpama itu. Persahabatan berlandaskan Iman. Ingin sama merasa 'izzah punya ukhuwwah semantap mereka..).

Buat kawan, teman dan sahabat semua, terima kasih. Kita cuba ya, cuba untuk jadi sahabat yang baik, sahabat yang membantu di kala susah, sahabat yang membina, sahabat yang mengingatkan bila lupa, sahabat yang menegur jika salah, sahabat yang menyayangi kerana Allah, sahabat yang dijanjikan naungan 'arasy Allah di akhirat kelak, in sya Allah.



(ish.. rindu Izwah, Fara dan Azra! Moga kalian tenang bahagia, bersama lindungan Rahmat dan Kasih Allah.. doa agar Allah redha persahabatan kita. ini, aku akan cuba meningkatkan kualiti sebagai seorang kawan, teman dan sahabat!)

Allah Hafeez =)