Demedim Me

Monday, August 30, 2004

Ini negara sapa punya..?

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Dah hampir seminggu *Nenek dan **Uci bertandang, rehat-rehat di teratak kecil kami. Uci kurang sihat. Kali ini, Abah bawa Uci tinggal dulu bersama kami. Memang Uci dan Nenek jarang tinggal di kampung pada satu-satu tempoh yang lama, tetapi selalu berziarah ke rumah anak cucu. Ya lah, kalau di kampung, tiada siapa yang ada, yang boleh menjaga sakit pening mereka. Sekurang-kurangnya, kalau tinggal dengan anak cucu, terjaga lah juga kebajikan sedikit sebanyak. Paling tidak, anak cucu dapat menemani, memeriahkan suasana hidup di usia senja.

Uci memang agak penyenyap orang nya. Tak banyak cakap. Tapi, punya tangan yang pantas bekerja. Nenek pulak, peramah. Rajin, mudah diajak bersembang. ('peramah', sampai kadang-kadang suara Nenek yang lagi kuat memberi komen tentang liputan 'songsang' yang diberikan di kaca tv!). Semalam, dalam satu sesi sembang-sembang dengan Nenek, keluarlah topik MyKad, membawa kepada hak kewarganegaraan. Dalam mode melawak, Nenek cakap : (secara lebih kurangnya, mengikut kefahaman dan ayat saya sendiri)

"Katakanlah.. ada sorang India ni tanya kita ; 'Ini negara sapa punya?', apa jawapan nya? Kita boleh jawab (sebab kita yakin) yang ini Tanah Melayu. Negara ini hak orang Melayu. Kita boleh bukak lah sejarah kita dulu-dulu. Tanah ini asalnya orang melayu yang duduki. Kemudian, datangnya Inggeris, dibawa masuk orang-orang dari China dan India, sebab itulah wujudnya bangsa-bangsa ni kat negara kita. Kalau ditanya lagi ; 'Ini negara sapa punya?', kita boleh jugak cakap ini Tanah Orang Islam. Ye lah, kalau dulu, sebut Melayu aje mesti Islam. Tapi sekarang tak lagi. India tu boleh bidas balik ; 'Islam itu agama.', dan dia tanya kita lagi ; 'Ini negara sapa punya?', kemudian dia minta kita keluarkan MyKad kita, dan dia keluarkan MyKad dia. India sambung lagi ; 'Ini MyKad, lu tengok. Ok lah, lu punya ada tulis Bangsa Melayu, Agama Islam. Saya punya tulis Bangsa India, Agama Hindu. Itu cakap pasal bangsa dan agama. Kemudian ada tulis Warganegara. MyKad lu tulis warganegara, MyKad saya juga ada tulis warganegara. Jadi kita sama la. Tadak cakap ini negara Melayu juga punya.'.. Humm. apa kita nak jawab As, kalau ditanya 'Ini negara sapa punya?'.."

Nenek ketawa. Tapi, ketawa Nenek ketawa bermakna. Saya juga ketawa. Ketawa saya bagai menutup gugup saya, yang kematian kata mahu menjawab soalan yang Nenek lontarkan, walau pun saya tahu, Nenek bukan mahu mendengar jawapan saya, tapi mahu membuatkan otak saya berfikir.

Dalam tawa, Nenek sambung lagi. Dari kata-katanya, dapat saya simpulkan ada rasa kesal yang memanjat dinding rasa Nenek. Kesal, kecewa dan sedih yang erat bergumpal. Betul, yang lepas jangan dikenang. Tapi, silap yang dilakukan pada masa lepas wajar kita kutip, kita jadikan panduan agar kita tak lakukan silap yang sama.

Dalam kita membuat keputusan, kata Nenek, kita jangan pendek akal. Elakkan membuat keputusan yang hanya memberikan kebaikan hanya pada waktu tersebut, dan membawa kerosakan mahupun kerugian yang besar di tahun-tahun akan datang. (Nenek tak sebut terang-terang, tapi minda saya bagai mengaitkannya dengan kemerdekaan kita, dengan persetujuan 'mengikut telunjuk British', wallahua'lam)

Kita juga, jangan take things for granted. Sesuatu yang menjadi hak kita pada satu-satu masa, jangan kita yakini akan terus menjadi hak kita sampai bila-bila. Tak kene dengan gaya, ada salah silap perhitungan kita, kita leka, alpa.. hak mutlak kita dulu akan menjadi sesuatu yang sangat asing pada kita sendiri. (Nenek tak juga cakap straight forward, tapi saya terfikirkan tentang hak keistimewaan orang Melayu..)

Entahlah. Ilmu saya kurang dalam banyak perkara ; tak mampu memberi pendapat seperti dari kaca mata sejarawan ulung, politikus suara bergegar, pemimpin gah berpidato, pemerhati politik bijak menganalisa.. tapi saya masih mampu mengambil tahu, dan juga mahu memberitahu, bahawasanya jika kita berterusan bersikap sebegini, bukan sahaja kita akan kehilangan identiti bangsa, agama pun sudah boleh dianaktiri.. (Ah, sedangkan orang boleh berkata ; "Biar mati anak, jangan mati adat", di mana pula nilai agama?).. Tanah Melayu ini tak mustahil satu hari nanti hilang nilai di mata dan hati..

Kita hanya ada sejarah, Sejarah Keagungan Melayu dulu-dulu. Itupun, diharapkan sangat setiap satu sejarah melayu yang diajar-ajarkan di sekolah benar tepat benar, tidak ada unsur tipu seleweng penjajah yang cemburu, atau 'terpaksa' diubah susun untuk menjaga kepentingan mana-mana pihak. Kerana, melalui sejarah ini, anak melayu boleh berpegang dengan hakikat Tnah ini milik Orang Melayu.

Jangan nanti, hamba Allah yang pada MyKadnya (kalau MyKad terus digunakan di zaman depan) tertera beragama Islam dan berbangsa Melayu sendiri yang bertanya :

"Ini negara sapa punya?"

*Nenek = panggilan untuk Datuk (grandpa)dalam Bahasa Rawa.
**Uci = panggilan untuk Nenek (grandma) dalam bahasa Rawa.

Salam Merdeka!!
(Jom, merdekakan diri dan minda)

Allah Hafeez =)