Demedim Me

Wednesday, August 11, 2004

Kertas Jadual Waktu

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Kelam kabut tadi Adik mencari kertas jadual waktu sekolahnya. Mula-mula sekali dia meneliti tempat biasa ; laci kanan 'almari cantik' mak, mungkin tak puas hati bila saya katakan yang saya tidak menjumpai kertas yang disuruh cari di situ. Kemudian, mencari di dalam almari buku, di celah timbunan kertas kerja abah, di bawah longgokan baju yang diangkat dari ampaian... Ke hulur ke hilir cari.. Tak jumpa!

Sebetulnya, malam semalam, selepas dia menyusun buku ke dalam beg mengikut jadual waktu, saya perasan kertas jadual waktu Adik terdampar atas karpet corak-corak bunga besar. Saya tidak mengutip kertas tersebut, niat saya mahu Adik belajar tentang erti tanggungjawab dan saya pasti dia akan menyimpannya sendiri di tempat biasa. Memang itu rutinnya sebelum-sebelum ini, ambil dan letakkan kembali kertas itu di tempatnya, tapi semalam Adik lupa.

.. dan, dalam sibuk-sibuk mencari sama, kasihan dan simpati berebut keluar. Ditambah lagi dengan rasa bersalah kerana memikirkan bahawa sikap saya juga yang menyebabkan Adik susah-susah mencari, dan pasti terasa hati bila 'suara' orang di rumah ikut 'mencari' sama. Kasihan, simpati dan bersalah berbaur menjadi sesuatu yang amat menyebalkan!!

Mahu tak mahu, Adik terpaksa pergi ke rumah rakan sekelasnya untuk menyalin jadual. (Ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan Adik perlu membawa semua buku-bukunya ke sekolah esok!). Nasib baik ada Akma untuk membawa Adik ke sana dengan motor selepas balik dari kedai.

Pulang Adik mengkhabarkan bahawa kawan tersebut tidak mempunyai jadual waktu dan memang membawa semua buku-bukunya ke sekolah setiap hari (!).

Gerak hati ibu agaknya, sekali Emak mencari terus jumpa. Tahu di mana? Dalam plastik sampah di dapur! Nasib baik tak kotor sangat. (huh, sebenarnya saya perasan juga ada kertas putih di bahagian atas plastik sampah sebelum Mak jumpa, tapi tak tergerak saya untuk melihat, apatah lagi mengambilnya keluar.. isk isk isk)

Lega betul Adik. Gembira. Saya suruh dia buat lagi satu salinan jadual waktunya dalam buku lain, mana tahu nanti-nanti berlaku lagi perkara yang sama. Meski ada lega dan gembira, tapi rasa 'bersalah' tetap bertandang di hatinya, dan mungkin juga sedikit bersedih mengenang 'suara-suara tinggi' tadi, lantas dizahirkan melalui perlakuan tanpa sedarnya. Adik menyalin satu-satu, lambat-lambat, cermat-cermat, senyap-senyap, tanpa celoteh riangnya.. (namun sempat juga dia mengatakan yang dia khuatir tak sempat makan lantaran jam yang sudah hampir pukul 10-waktu tidur). Ah, perasaan yang menyebalkan tadi menghimpit lagi!

Selesai menyalin, siap menyusun buku-buku di dalam beg, Adik ambil nasi dan lauk sendiri dan duduk makan di meja. Kalau selalu-selalunya, jarang dia mahu untuk mengambil makanan sendiri kecuali setelah dipaksa. Adik mungkin masih berkecil hati dan tidak mahu membangkitkan 'suara-suara' lagi.

Tapi mujur, senyapnya tak lama. Menjadi juga usikan saya tentang tulisan darjah satunya ; besar-besar, comel dan gaya menulis huruf P yang sangat berbeza :). Lagi pun, tak pernah Adik merajuk atau marah-marah dalam jangka masa yang panjang. Juga, mungkin dia merasakan dia juga bersalah dalam hal ini. Cerianya sudah kembali :).

Meski Adik 'sudah kembali', tapi saya masih belum bercaya mengusir sepenuhnya rasa sebal dalam diri. Saya maklum, Abah 'bersuara' menunjukkan rasa prihatin, dan mahu Adik tahu tindakannya tidak betul. Mak 'bersuara' kerana rasa susah hatinya jika adik perlu memikul berat semua buku ke sekolah, dan belas kasihnya melihat adik mencari tak jumpa-jumpa. Bukan sebab Mak atau Abah, tapi kerana sikap saya sendiri. Mahu mengajar Adik, tapi mungkin salah cara saya, atau bukan 100% niat saya di situ. Kesal kerana saya 'menghukumnya', meski tanpa sengaja.. sedangkan saya masih punya peluang dan cara lebih baik untuk menagajar Adik erti tanggungjawab, tapi saya memilih untuk 'menyusahkannya'..

Hummm.. pengajaran buat saya sebenarnya.

Dalam 'memikul amanah anak sulung', kadang-kadang saya boleh terlebih atau terkurang dalam pertimbangan dan akhirnya menolak saya keluar dari landasan. Dalam pada mahu 'mendidik', mahu yang terbaik untuk adik-adik, saya mungkin mengharapkan yang lebih dari kemampuan mereka pada satu-satu masa. Dalam 'mode' tegas dan berhati-hati, tak mustahil saya menjadi terlalu keras dan tidak boleh berkompromi dengan sedikit kelemahan dan kekurangan mereka.. Segala-galanya mungkin..

Saya tahu, saya mesti lebih sensitif selepas ini.
Tak mahu lagi menjadikan hati dan perasaan orang-orang yang saya kasihi sebagai taruhan kepada sesuatu yang saya harapkan sendiri.

Tak perlu perkara yang besar-besar untuk menyedarkan, cukup sekadar sekeping kertas putih lunyai berbirat lipatan bertaip Jadual Waktu Kelas 1 Maju milik Adik.

Maaf Dik, Kakak sayang kamu!

Tak langsung saya nampak walau sekilas bebayang dendam dalam sepasang mata bundar milik Adik.

Juga tiada nada terpaksa, tone marah yang menampar gegendang telinga. Ucapan salam, rutin sebelum tidurnya masih seperti biasa : Assalamualaikum Abah, Assalamualaikum Mak, Assalamualaikum Kakak, Assalamualaikum Kak Ma, Assalamualaikum Kak Icah, Assalamualaikum Abang, Assalamualaikum semua!


Allah Hafeez.